Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang puasa,
kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari
di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan
menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana
berikut:
1. Makan dan Minum Dengan Sengaja
Allah Subhabahu wa Ta’ala berfirman:
“Dan
makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang
hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga
(datangnya) malam.” (al-Baqarah, 2: 187)
Dengan demikian,
dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan
minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum
bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang
berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya
tidak membatalkan puasanya. Perkara ini adalah berdasarkan dalil-dalil
sebagaimana berikut:
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
“Jika
seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia
menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan
dan minum.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155))
“Sesungguhnya
Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana
dipaksa.” (Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar
(2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149)
ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin
Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)
2. Muntah Dengan Sengaja
Barangsiapa
yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan
puasanya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
“Barangsiapa
yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk meng-qadha
puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya
mengqadhakan puasanya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi
(3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498) melalui jalan Hisyam bin
Hassan, dari Muhammad bin Siren, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu.
Sanadnya sahih, sebagaimana yang disampaikan oleh Syaikhul Islam di
dalam kitab Haqiiqatush Shiyaam, m/s. 14))
3. Haidh dan Nifas
Jika
seseorang wanita haidh atau nifas, pada suatu bahagian siang tertentu
(di bulan Ramadhan), sama ada di awal atau pun di akhir waktu, maka
mereka harus berbuka dan mengqadhakannya. Jika mereka tetap berpuasa,
maka puasa tidaklah sah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
bersabda:
“Bukankah jika haid dia tidak solat dan puasa?” Kami katakan, “Ya.” Beliau berkata, “Demikianlah kekurangan agamanya.”
Dalam riwayat lain disebutkan:
“Beberapa
malam dia diam tidak mengerjakan solat dan tidak juga berpuasa pada
bulan Ramadhan. Jadi, inilah kekurangan agamanya.” (Hadis Riwayat Muslim
(79) dan (80) dari Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)
Perintah mengqadhakan puasa juga terdapat di dalam riwayat Mu’adzah, dia berkata:
“Aku
pernah bertanya kepada ‘Aisyah, “Mengapa orang haid mengqadha puasa
tetapi tidak meng-qadha solat?” 'Aisyah berkata, “Apakah engkau wanita
Haruri” (Haruri dinisbahkan kepada Harura’ (iaitu) negeri yang jaraknya 2
batu dari Kufah. Mereka yang memiliki sikap membantah dinisbahkan
kepada kelompok tersebut (kelompok khawarij)) Aku menjawab, “Aku bukan
Haruri, tetapi hanya (sekadar) bertanya.” ‘Aisyah berkata, “Kami pun
haid ketika puasa, tetapi kami hanya diperintahkan untuk mengqadha
puasa, tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari (4/429) dan Muslim (335))
4. Suntikan Yang Mengandung Makanan Iaitu
menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi
orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana
memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika
suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka
inipun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut
kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan
orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan
cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium),
demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang
sakit asma, maka inipun membatalkan puasa.
5. Jima’ (Bersetubuh)
Imam
asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah (2/22)): “Jima’ dengan sengaja,
tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut
membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka
sebagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum
dengan tidak sengaja.”
Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma'ad
(2/66)), “al-Qur-an menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa
sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam
perkara ini.”
Dalilnya adalah firman Allah:
“Sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kalian.” (al-Baqarah, 2: 187)
Diizinkan
bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa
puasa itu dari makan, minum dan jima'. Barangsiapa yang membatalkan
puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat.
Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu
'anhu, (dia berkata):
“Pernah datang seseorang kepada
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya
Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu
binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.”
Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?”
Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu
memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.”
Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang
mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma
ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga
yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam
pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda,
“Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan
berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111),
at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi
(2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah
(3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur
Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang
lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz
Ibnu Hajar (11/516))
0 komen:
Catat Ulasan