• DIARIKU :: APA YANG SUDAH PERGI, BIARKANLAH IA BERLALU PERGI


    Mengingat-ingat masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan bodoh dan gila. Lebih daripada itu, ia boleh mematikan kehendak dan membinasakan masa depan.

    Bagi orang-orang yang waras, fail masa lalu itu sepatutnya dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ianya perlu diperap sedemikian rupa supaya ia tidak terkena cahaya, sebab ia adalah sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak boleh diubah dan diperbaiki dengan apa juga kedukaan, tidak dapat dihadirkan semula dengan apa juga kegelisahan, dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan - ia sesuatu yang telah tiada.

    Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada mata airnya, memulangkan matahari kepada tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya dan airmata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dengan apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja dengan meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.

    Hidupkan sambil mengungkit-ungkit masa lalu bermakna menyia- nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyak perjuangan, dan memporak-perandakan masa kini. Allah S.W.T sudah menceritakan tentang umat-umat yang lampau dan apa yang sudah mereka lakukan. "Yang demikian itu adalah satu umat yang sudah berlalu." Segala sesuatunya sudah selesai bagi mereka. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjangkan cerita perjalanan masa kerana ia sama sahaja dengan memutar semula perjalanan sejarah.

    Malangnya kita tidak mahu dan berusaha menangani masa kini sebaliknya kita sibuk memikirkan masa lalu kita. Kita menyia-yiakan istana-istana kita yang megah, sebaliknya kita pula sibuk menguruskan reruntuhan bangunan lama. Sekiranya manusia dan jin bekerjasama bertungkus-lumus untuk mengembalikan masa lalu itu, nescaya mereka tidak akan berjaya, sebab pada dasarnya ia adalah mustahil.

    Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang, sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun ke arah depan. Justeru, janganlah cuba menetang arus dan aturan hidup, sunnah alam.

    0 komen: